Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Malaysia sudah bersedia, kita akan lawan sampai menang

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon menyifatkan pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023.

Ini selepas Malaysia akan beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

“Kita sudah tidak sabar untuk beraksi,” kata Pan-gon dalam sidang media hari ini.

“Saya rasa kita sudah bersedia, kita nak tunjukkan perlawanan menarik kepada peminat.

“Kita akan buat yang terbaik, kita akan lawan sampai kita dapat keputusan yang bagus.

“Kita mahu menang, kita mahu mendominasi, kita mahu kuasai perlawanan ini.”

Beliau juga menegaskan, pendekatan berdepan Turkmenistan akan menjadi sedikit berbeza namun tetap mengekalkan asas permainan.

“Sudah tentu strategi kita berdasarkan taktikal pihak lawan, formasi, kekuatan individu jadi pendekatan kita kali ini sedikit berlainan.

“Tetapi pendekatan asas, falsafah dan cara permainan adalah sama.

“Kami juga sudah menganalisa pasukan lawan, saya percaya kita melakukannya dengan baik, jadi saya ada keyakinan yang tinggi, kita mungkin akan dapat beraksi dengan baik.”