Kelantan United mengumumkan pemain import pertahanan baharu dari Jepun, Shuhei Fukai bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.
Ini merupakan kali pertama pemain berusia 27 tahun itu beraksi di luar negara.
Berketinggian 182cm, Shuhei Fukai memulakan kariernya bersama kelab J.League, Omiya Ardija pada 2009 sebelum berhijrah ke Hokuriku University pada 2012 dan beraksi dengan pasukan itu selama empat tahun.
Pada 2016, beliau menyertai kelab J3, Blaublitz Akita selama dua tahun sebelum berpindah ke satu kelab J3, Iwate Grulla Morioka pada 2019.
Shuhei kemudian dipinjamkan ke kelab J3, Vanraure Hachinohe sepanjang musim 2020 dan beraksi sebanyak 21 perlawanan serta menjaringkan 1 gol.
Pengarah Eksekutif Kelantan United FC Sdn. Bhd, Anas Karimi Ahmad Thani berkata penyertaan Shuhei adalah berdasarkan cadangan ketua jurulatih, Akira Higashiyama.
“Akira Higashiyama telah menilai beberapa pemain untuk melengkapkan pasukan dan akhirnya memutuskan untuk mendapatkan Shuhei Fukai.
Beliau juga percaya, kehadiran pemain yang berpengalaman seperti Shuhei mampu membantu Kelantan United FC mengukuhkan barisan pertahanan seterusnya memberi cabaran dalam Liga Malaysia musim ini.
Ini bermakna, Shuhei menggantikan tempat pertahanan import Brazil, Aylton Alemao yang telah berhijrah ke sebuah lagi pasukan Liga Premier, Kuching City.
Shuhei menjadi pemain import keempat Kelantan United musim 2021, selepas Alfusainney Gassama dikekalkan.
Pada masa sama, Shuhei menjadi pemain Jepun yang ketiga menyertai Kelantan United musim ini selepas Yuki Tanigawa dan Masashi Motoyama.