Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Taktik lapuk pun Selangor boleh menang

B. Sathiananthan menganggap taktikalnya tidak terlalu ketinggalan selepas pasukan Selangor bangkit menewaskan Sabah 2-1 di Kota Kinabalu.

Ini selepas peminat mempersoalkan formasi 3-5-2 yang digunakannya, sehingga pasukannya dilihat bergelut untuk menguasai permainan.

“Saya beri pujian kepada pemain-pemain kerana mereka bangkit dan tidak mudah mengalah,” katanya dalam sidang media.

“Bukan kerana taktik saya. Saya punya taktik semuanya lapuk. Tapi ini yang digunakan pada 70-an.

“Kalau ada orang kata 3-5-2 ini tak masuk akal, tapi kita berjaya dapat tiga mata.”

Selangor bagaimanapun ketinggalan selepas Sabah mendahului menerusi Rodoljub Paunovic pada minit ke-65.

Namun, Selangor tidak menunggu terlalu lama apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ifedayo Olusegun pada minit ke-72.

Ifedayo menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor menduduki tangga ke-6 dalam Liga Super, berkongsi 9 mata dengan Melaka, hanya dipisahkan dengan perbezaan jumlah jaringan.