Liga Super Malaysia Berita

FAM: Tiada lagi kelonggaran untuk pasukan Liga Malaysia

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan bahawa pihaknya tidak akan memberikan sebarang kelonggaran kepada pasukan Liga Malaysia berhubung proses penswastaan kelab yang akan tamat tempoh pada 30 Sept.

Malah, pihaknya tidak akan memberikan lesen kebangsaan kepada pasukan yang gagal melengkapkan proses pelesenan pada 31 Ogos dan perlu beraksi di Liga M3 musim depan.

“Buat masa ini, kita tidak akan memberikan pengecualian kepada mana-mana pasukan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kita juga sama sekali tidak akan mempertimbangkan apa-apa permohonan bagi melonggarkan syarat-syarat untuk memperoleh lesen kebangsaan.

“FAM tetap dengan keputusan yang telah dibuat sebelum ini bahawa tarikh akhir bagi semua urusan bagi proses penswastaan kelab perlu diselesaikan selewat-lewatnya 30 September depan.

“Begitu juga segala proses urusan setiap pasukan bagi mendapatkan lesen kebangsaan, FAM tetapkan tarikh akhir sehingga hujung bulan ini.

“Kegagalan untuk mendapatkan lesen kebangsaan, bermakna pasukan berkenaan tidak akan dibenarkan untuk beraksi dalam saingan Liga-M musim depan.”