Sudah hampir empat tahun Lee Tuck menetap di Malaysia, dan beliau mendedahkan sebab mengapa beliau mahu terus berada di negara ini sehingga ke hari persaraannya.
Pemain berusia 32 tahun itu tiba di Malaysia pada hujung 2016, dan menyertai Negeri Sembilan selama semusim sebelum berhijrah ke Terengganu dan sudah menetap selama tiga tahun di negeri Pantai Timur itu.
Beliau mengakui gembira dengan kehidupannya di negara ini, dan perkara itu turut diakui oleh isteri dan anaknya.
“Saya gembira berada di negara ini, begitu juga isteri dan anak saya,” katanya kepada Arena Metro.
“Untuk jangka masa panjang, saya mahu kekal bermain di Malaysia terutama di Terengganu sehingga bersara daripada arena bola sepak.
“Jadi tinggi harapan saya dapat beraksi selama yang boleh atau selagi khidmat saya diperlukan mana-mana pasukan.”
Terengganu dijangka memulakan latihan minggu sama seperti pasukan Liga Malaysia yang lain, selepas selesai menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mendapat kebenaran untuk mengadakan sesi latihan daripada MFL.