Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa Kedah tidak boleh menggunakan Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM kerana berdepan masalah tunggakan gaji pemain.
Malah, garis panduan itu hanya untuk pasukan yang belum mencapai persetujuan mengenai pemotongan gaji dan hanya boleh dilaksanakan bermula gaji bulan April.
Katanya, mana-mana pasukan perlu menyelesaikan tunggakan lama terlebih dahulu supaya hutang tidak bertambah.
“Kita tak benarkan sebab kalau dah tertunggak bulan sebelumnya, macam mana pasukan nak selesaikan pula gaji bulan April dan seterusnya,” katanya kepada Arena Metro.
Stuart menjelaskan, Kedah hanya boleh dibenarkan menggunakan garis panduan tersebut jika bayaran ansuran untuk bulan Februari dan Mac mendapat persetujuan pemain.
“Jadi dalam kes macam Kedah, kalau pemain kasihan kepada pasukan mereka boleh ambil keputusan beri Kedah ruang untuk bulan Februari dan Mac bayar penuh secara ansuran.
“Tapi kalau pemain tak dapat gaji bulan Februari dan Mac, dan mereka pun tak setuju buat pemotongan bermakna pasukan tak boleh suka hati nak potong bulan April.”
Garis Panduan Penyelarasan Gaji membenarkan pemotongan maksimum adalah sebanyak 30 peratus sahaja terhadap pemain yang meraih pendapatan melebihi RM15,000 sebulan.
Bagi pemain yang menerima gaji dari RM10,000 – RM14,999, pemotongan boleh dibuat sebanyak 20 peratus diikuti RM5,000 – RM9,999 (15 peratus) dan RM4,999 ke bawah (10 peratus).
“Pasukan kena capai persetujuan dengan pemain terlebih dulu dan kita hormati rundingan di peringkat domestik itu. Kalau pemain setuju, siapalah FAM untuk kata tidak. Sebaliknya kita akan bantu dengan benarkan tetapi kena bincang dengan pemain,” kata Stuart.