Pengarah Urusan Offside Sports, Abdul Halim Abdul Shukor akhirnya menjawab dakwaan Norshahrul Idlan Talaha dengan mengatakan bahawa kliennya sudah pun mengambil seorang ejen di Thailand tanpa pengetahuannya.
Katanya, disebabkan perkara itu, ejen Thailand tersebut membuat laporan kepada Thailand FA.
“Sebelum Norshahrul tandatangan dengan saya, tanpa pengetahuan saya dia telah terlebih dahulu tandatangan dengan seorang ejen agensi Thailand iaitu Pro24,” katanya kepada Sukan Sinar.
“Apabila Norshahrul tandatangan dengan kelab BG Pathum United, ejen Pro24 itu membuat aduan kepada Thailand FA dan juga kepada kelab. Kes ini masih berjalan dan kemudian dengan kemunculan virus Covid-19, mungkin kes itu akan ambil masa yang panjang.
“Disebabkan itu, sampai sekarang Bangkok Glass tidak bayar yuran ejen kerana kes masih tergantung. Setelah dapat nasihat dari sudut undang-undang, saya pilih untuk berdiam diri untuk tempoh ini.”
Pada masa sama, Abdul Halim menafikan dakwaan Norshahrul, sebaliknya dia ada membantunya mencari rumah dan banyak perkara lain di Thailand.
“Saya telah cuba hubungi ejen Pro24 tersebut untuk berbincang tetapi dia tetap berdegil hendak ambil tindakan. Itu hak dia.
“Sebenarnya saya tidak mahu isu ini jadi besar tapi kerana Norshahrul buat kenyataan yang saya menghilangkan diri, saya terpaksa jawab juga.”