Hujung minggu lepas telah menyaksikan beberapa kelab eropah bergelut dalam saingan liga masing-masing. Perkara ini membuktikan bahawa kelab lain juga mampu untuk memberikan saingan kepada pasukan gergasi.
Pendahulu Ligue 1 Perancis, Paris Saint Germain (PSG) dikejutkan dengan kekalahan 2-1 keatas Dijon FCO. Walaupun menurunkan kesebelasan yang sama dengan menampilkan trio serangan Kylian Mbappe, Mauro Icardi, dan Angel Di Maria, PSG tetap tewas.
Kekalahan ketiga gergasi Perancis ini tidak berapa memberi kesan kerana mereka masih di puncak liga dengan memungut 27 mata, tujuh mata dihadapan pencabar terdekat Angers SCO. Pemain sayap muda berbakat, Kylian Mbappe memberikan gol pendahuluan buat PSG sebelum dipadamkan oleh Mounir Chouiar dan Jhonder Cadiz.
Bayern Munich pula secara tiba-tiba dibelasah Eintracht Frankfurt 5-1. Kehilangan pemain pertahanan, Jerome Boateng yang dilayangkan kad merah pada awal babak pertama begitu memberi impak kepada penyandang juara Bundesliga itu.
Hanya satu sahaja perkara positif yang boleh diambil oleh Bayern selepas kekalahan memalukan iaitu konsistensi Robert Lewandowski yang dilihat terus-menerus menghasilkan gol. Berikutan kekalahan tersebut, pengendali Bayern Munich, Niko Kovac telah mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan hasil persetujuan bersama pihak pengurusan.
Gergasi Sepanyol, Barcelona tewas 3-1 keatas Levante. Nasib yang sama menimpa pasukan ini walaupun menurunkan trio berbisa Antoine Griezmann, Lionel Messi, dan Luis Suarez. Messi memberikan gol awal buat The Catalans menerusi sepakan penalti.
Namun, Levante bangkit menjaringkan tiga gol dalam masa 10 minit untuk memusnahkan ego anak buah Ernesto Valverde. Sebelum ini, Barcelona selesa dengan mencatat empat kemenangan liga. Kekalahan mengejutkan ini mengganggu rentak Barca yang memungut 22 mata bersama Real Madrid dan Real Sociedad.
Dominasi kelab gergasi dalam beberapa saingan liga ini membuktikan bahawa semua pasukan juga mampu untuk menang dengan mana-mana pasukan. Dalam masa yang sama, pasukan gergasi juga sudah tidak relevan untuk sentiasa menjadi pasukan pilihan walaupun memperoleh kemenangan selesa dalam perlawanan sebelum ini.