Persatuan Boasepak Kedah (KFA) semalam mengumumkan barisan kejurulatihan Lang Merah yang baru bagi menghadapi musim hadapan.
Dengan jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak diberi tugas menjadi ketua jurulatih sambil dibantu oleh Victor Andrag dan Azmi Mohamed sebagai penolong ketua jurulatih.
Perkara ini telah dijelaskan pada sidang media semalam oleh Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa dihadapan para media. Selain daripada itu, beliau turut mengumumkan bahawa sembilan pemain senior yang tamat kontrak hujung bulan ini akan terus kekal bersama pasukan Lang Merah.
Antara pemain senior itu adalah kapten Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari, Rizal Ghazali dan Hadi Hamid.
Menurut Anas Hafiz, beliau berasa terharu dengan kesetian pemain untuk terus berkhidmat buat Lang Merah biarpun gaji mereka dipotong oleh KFA.
“Sebenarnya saya juga terkejut kerana KFA membuat pemotongan gaji musim ini tapi hati mereka tetap di Kedah dan Alhamdulillah ini menunjukkan semangat dan jati diri untuk bermain dengan Kedah tinggi.
“Walaupun gaji kena potong, mereka tetap setia dan masih mahu bersama Kedah dan saya juga minta maaf kerana tak dapat nak umumkan berapa jumlah yang dipotong kerana jumlahnya berbeza.”
KFA juga turut mengumumkan kehadiran penyerang skuad bawah 23 tahun negara N Thanabalan, Azmeer Yusof, Syahrul Azwari Ibrahim, Hidhir Idris dan Shahrul Igwan Samsudin ke pasukan Kedah musim hadapn.