Jurulatih B-23 tahun negara, Ong Kim Swee dalam dilemma untuk memilih pemain mengikut posisi yang diinginkan memandangkan kejohanan seperti Sukan Asia memerlukan pemain-pemain yang sentiasa cergas dan kurang mengalami kecederaan.
Meskipun Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan dalam perlawanan pembukaan esok tetapi Kim Swee sekali lagi terpaksa melakukan rombakan saat akhir akibat kecederaan pemain.
Pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham terpaksa digugurkan akibat kecederaan pangkal paha kiri dan digantikan oleh Rodney Celvin Akwensivie.
“Selepas berbincang dengan doktor dan melihat keadaan Danial pada latihan waktu pagi, kami mendapati kecederaan pangkal pahanya mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.
“Memandangkan masa sudah terlalu suntuk untuk dua perlawanan awal bertemu Kyrgyzstan, Rabu ini dan Korea Selatan pada Jumaat, saya memerlukan pemain yang lebih cergas untuk diturunkan.
“Walaupun diakui posisi tengah agak kekurangan pemain, saya mengambil keputusan untuk menyenaraikan semula Rodney bagi melengkapkan senarai 20 pemain akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketiadaan Danial menyebabkan Kim Swee hanya memiliki tiga pemain tengah iaitu Baddrol Bakhtiar, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syahmi Safari.
Namun begitu, Kim Swee berharap perubahan posisi Irfan dan Kogileswaran semasa beraksi untuk pasukan liga masing-masing dapat membantunya merancang kesebelasan terbaik pasukan.
“Ketiadaan Danial tidak mengganggu perancangan saya kerana saya sendiri tidak menyenaraikannya dalam dua aksi persahabatan terakhir menentang China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.
“Irfan Zakaria pula sudah biasa bermain di bahagian tengah bersama Kuala Lumpur, begitu juga R. Kogileswaran di Pahang.
“Jadi saya tidak nampak akan ada masalah jika berlaku kecederaan atau penggantungan,” katanya lagi.