Malaysia Berita

Nani, Wes Brown latih pemain bawah 17 tahun Malaysia

Legenda Manchester United, Nani dan Wes Brown meluangkan masa melatih 30 bakat muda berusia antara 13 hingga 17 tahun di Malaysia baru-baru ini.

Pemain-pemain tersebut dipilih melalui program akar umbi peringkat kebangsaan, Liga Suparimau.

Sesi latihan itu yang diadakan di Sayfol International School di Jalan Ampang, Kuala Lumpur merupakan klinik bola sepak eksklusif yang dianjurkan oleh Adidas dengan kerjasama rakan kongsi global, Manchester United.

Di atas padang, para peserta menerima bimbingan profesional yang dirangka untuk mencerminkan intensiti dan etos bola sepak profesional.

Michael Neary, Ketua Sekolah Bola Sepak Manchester United telah merangka menu latihan yang merangkumi latihan hantaran, tenis kepala, dan diakhiri dengan perlawanan mini 11 sebelah.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada matlamat Adidas untuk mewujudkan peluang yang lebih adil dalam sukan, memperjuangkan kesaksamaan dan meraikan kuasa bola sepak dalam menyatukan komuniti.

Dengan akses kepada pengalaman bertaraf elit serta pengaruh ikon global, Adidas berazam untuk memberi inspirasi atlet muda agar terus kekal dalam sukan dan berani mengejar impian yang besar.

“Mentor adalah bahagian penting dalam perjalanan setiap atlet, dan peluang untuk pemain muda ini berlatih bersama legenda-legenda Manchester United adalah satu pengalaman yang amat berharga,” kata Fanny Lanctot, Pengarah Jenama Kanan adidas Asia Tenggara.

“Mereka bukan sahaja akan mempelajari kemahiran teknikal dan strategi permainan, malah akan mendapat pendedahan tentang ketahanan mental, disiplin, dan komitmen yang diperlukan untuk berjaya dalam sukan yang mereka cintai.”

Ikuti perkembangan inisiatif tempatan Adidas di Instagram: @adidasMY.