Tarikh baharu perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 telah diubah daripada 12 April kepada 26 April 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Menurut MFL, perubahan tarikh final terpaksa dibuat selepas mendapat permohonan rasmi daripada Pahang serta persetujuan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini berdasarkan permintaan penyokong yang mengharapkan agar tarikh final dapat diubah ke tarikh baharu untuk membolehkan mereka merancang perjalanan ke SNBJ.
“Ini berikutan kekangan penyokong kedua-dua pasukan untuk mendapatkan tiket memandangkan tarikh asal yang masih di tempoh awal perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Justeru MFL berharap, tarikh baharu ini membolehkan urusan penjualan tiket final yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan finalis dapat disusun dengan lebih baik untuk memastikan kehadiran penyokong JDT dan Pahang menggamatkan pentas final nanti.”
Kesemua tiket fizikal dan e-tiket yang telah dan akan dijual tertera tarikh asal perlawanan akhir pada 12 April 2025 akan kekal digunakan untuk penyokong masuk ke stadium pada tarikh baharu perlawanan akhir, 26 April 2025.