Liga Super Malaysia Berita

Selangor menang tipis lawan Perak

Selangor mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Perak dalam saingan Liga Super di Manjung.
Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat Selangor dan kemenangan ke-11 secara keseluruhan dalam liga.
Alvin Fortes muncul wira apabila menjaringkan 2 gol untuk Selangor.
Penyerang dari Cape Verde itu menjaringkan gol pendahuluan buat Selangor pada minit ke-41, menjadikan kedudukan 1-0 hingga tamat separuh masa pertama.
Momentum itu dibawa ke separuh masa kedua apabila Fortes menambah gol kedua pada minit ke-71.
Tuan rumah Perak merapatkan kedudukan menerusi jaringan Wan Zack Haikal seminit sebelum tamat perlawanan.
Namun, hasrat Perak untuk menjaringkan gol penyamaan tidak kesampaian apabila kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 35 mata daripada 16 perlawanan manakala Perak dengan 18 mata daripada 16 perlawanan.
Selangor akan kembali beraksi dalam perlawanan suku akhir kedua Challenge Cup menentang KDN FC pada 22 Disember ini.