Liga Super Malaysia Berita

Hanya 8 pasukan Liga Super tiada masalah tunggakan gaji

Hanya 8 pasukan Liga Super tiada masalah tunggakan gaji, lapor Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB).
Ini hasil pemeriksaan terhadap laporan kewangan yang diserahkan oleh semua kelab Liga Super sebelum tarikh akhir 16 Julai 2024.

“Berdasarkan pemeriksaan dokumen-dokumen laporan kewangan itu, FFP FIB mendapati 8 kelab telah berjaya menyerahkan laporan kewangan pertama FFP dengan lengkap tanpa sebarang tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN Perkeso dan EIS Perkeso setakat Jun 2024.

“Bagaimanapun terdapat 2 kelab yang tidak menghantar laporan kewangan pertama FFP pada tarikh akhir 16 Julai 2024 namun berjaya menyelesaikannya selepas diberikan lanjutan masa sehingga 31 Julai 2024 oleh pihak FIB FFP.

Katanya, daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan kesemua kelab, didapati bahawa 3 kelab mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN Perkeso dan EIS bagi bulan Mei dan Jun 2024 manakala 2 kelab lagi perlu menghantar dokumen kewangan tambahan.

“Kesemua kelab terbabit diarahkan oleh FFP FIB untuk menyelesaikan tunggakan dan menyerahkan dokumen kewangan tambahan sebelum tarikh akhir 15 Ogos 2024.

“Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kelab tersebut dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang.”