Liga Super Malaysia Berita

Kedah dipotong 3 mata akibat gagal bayar tunggakan gaji

Kedah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda RM 50,000.

Pemotongan itu dibuat selepas Kedah gagal menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac 2024, melanggar syarat yang ditetapkan oleh FIB.

“Kedah dikenakan pemotongan 3 mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 serta denda sebanyak RM 50,000 berkuatkuasa serta merta,” kata Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

“Sekiranya Kedah gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran pada 20 April 2024 jam 5.00 petang maka Lesen Kebangsaan boleh ditarik balik seterusnya kelab itu tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.”

Jelasnya, FIB mengambil maklum surat Kedah bertarikh 28 Mac 2024 berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 serta surat persetujuan penjadualan pembayaran baki tunggakan gaji yang ditandatangani 75 peratus pemain dan pegawai terlibat bertarikh 29 Mac 2024.

“Namun, ia masih tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu penyelesaian penuh tunggakan bayaran gaji bagi tahun 2023.”

FIB turut mengesahkan bahawa kelab Kuala Lumpur City berjaya menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir 30 Mac 2024.