Liga Super Malaysia Berita

PFAM: Kes tunggakan gaji Kuantan FA, Marcerra United FC peringatan buat pemilik kelab

PFAM menyifatkan kes sivil tuntutan gaji bagi Kuantan FA dan Marcerra United FC yang berjumlah lebih RM 6 juta sebagai satu peringatan buat semua pemilik kelab di Malaysia.

Ini selepas pemilik kelab Kuantan FA dan Marcerra United berdepan risiko dipenjarakan akibat tidak menghormati keputusan mahkamah untuk melunaskan jumlah tunggakan gaji seperti yang telah difailkan.

Mahkamah telahpun menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari kepada pemilik kelab sekiranya beliau gagal melunaskan penyelesaian penuh tunggakan gaji pemain-pemain.

“PFAM menyokong baik segala usaha dalam membela hak dan memberikan perlindungan terhadap pemain termasuklah menyokong tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil yang telah difailkan oleh Tetuan Zarkasya & Co,” katanya dalam kenyataan.

“PFAM mengekori secara rapat mengenai perkembangan kes sivil ini kerana keputusan melalui prosiding komital terhadap pemilik kedua-dua kelab bolasepak ini akan menentukan landskap perundangan bolasepak profesional di Malaysia pada masa akan datang.

Katanya, kes ini boleh menjadi satu penanda aras dalam memastikan pemilik kelab bertanggungjawab terhadap segala liabiliti terutamanya kepada pemain dan tidak bersikap lepas tangan atau melarikan diri dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

“PFAM sekali lagi menekankan bahawa segala usaha dalam membela dan memberikan perlindungan kepada pemain merupakan agenda utama yang akan sering diperjuangkan dan disokong.

“Kes ini turut memberikan peringatan yang jelas kepada semua pihak untuk tidak mengambil mudah mengenai hak pemain terutamanya dalam isu tunggakan gaji yang sering dihadapi oleh pemain.”