Skuad negara melonjak tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-130 dunia berdasarkan ranking terbaru FIFA.
Skuad kendalian Kim Pan Gon itu mengumpul keseluruhan 1,122.87 mata untuk meningkat daripada posisi ke-137 dunia yang dihuni sejak 26 Okt lepas.
Perkembangan positif itu dicapai susulan kejayaan Malaysia dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan masing-masing menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada 16 Nov dan Taiwan 1-0 pada 21 Nov.
Malaysia memperoleh tambahan 26.15 mata secara keseluruhan selepas dua kemenangan itu.
FAM dalam misi memastikan Harimau Malaya berada dalam kelompok 120 terbaik menjelang akhir tahun ini.
Vietnam ketika ini di kedudukan ke-94 sementara Thailand di kedudukan ke-113.
Bagi zon Asia, lima pasukan terbaik ialah Jepun yang menduduki ranking ke-17 dunia, Iran (21), Korea Selatan (23), Australia (25) dan Arab Saudi (56).
Sementara itu, juara Piala Dunia 2022, Argentina kekal sebagai pasukan nombor satu dunia diikuti Perancis di tempat kedua, England (ketiga), Belgium (keempat) dan Brazil melengkapkan pasukan lima teratas dalam ranking FIFA.