Liga Super Malaysia Berita

40 pengadil Liga Malaysia jalani latihan fasa kedua VAR

Seramai 40 pengadil Malaysia kini menjalani latihan fasa kedua ‘Video Assistant Referee’ (VAR) bermula 26 Ogos hingga 11 September 2023 sebagai langkah persiapan awal pelaksanaan VAR di Liga Malaysia.

Ini selepas mereka menjalani latihan fasa pertama VAR ini telah dijalankan pada 15 dan 16 Julai yang lalu secara dalam talian.

Kursus latihan fasa kedua selama 17 hari di Wisma FAM itu telah dikendalikan oleh instruktur VAR FIFA, Tamer Dorry dari Mesir dan dibantu oleh pakar teknologi VAR, Sebastian Andrzej Szelag dari Poland.

“FAM sentiasa komited terhadap pembangunan serta kebajikan pengadil-pengadilnya, kata Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

“Selain itu, FAM berharap pengenalan sistem VAR ini di dalam Liga Malaysia, sudah tentu ia dapat membantu mengurangkan kesilapan pengadil ketika mengendalikan perlawanan.”

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden AFC, Sheikh Salman Ibrahim Al Khalifa di atas sokongan serta bantuan teknikal yang telah diberikan sepanjang latihan ini diadakan.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Tamer dan Sebastian di atas kesudian untuk hadir mengendalikan kursus ini. Semoga dengan usaha bersama ini, barisan pengadil di Malaysia dapat menjalankan tugas dengan lebih baik pada penghujung latihan VAR ini.”

Bagi latihan fasa kedua VAR kali ini, ia meliputi aspek penggunaan simulator VAR dengan menggunakan sebanyak 150 klip video bagi setiap pengadil. Setiap klip video yang digunakan telah diiktiraf oleh FIFA untuk digunakan bagi tujuan latihan.

Setiap proses latihan ini akan memberi penekanan kepada aspek penggunaan teknologi simulator VAR yang berkonsepkan ‘minimum interference, maximum benefits’ tanpa merencatkan kelancaran perlawanan.

Latihan VAR ini akan diteruskan dengan latihan fasa ketiga yang dijangka diadakan pada bulan November dan Disember 2023.