Pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Galifuoco menyifatkan Liga Malaysia mempunyai tahap bola sepak yang berkualiti dan semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Ini meskipun JDT mendominasi liga sejak 2014 apabila muncul juara Liga Super sebanyak 9 kali berturut-turut.
“Malaysia tidak sedar betapa kualitinya liga ini,” kata Giancarlo ketika bertemu media.
“Ia liga berkualiti…ia liga yang hebat. Saya sudah bermain di England, Itali, Australia dan Liga Juara-Juara Asia tetapi tiga tahun di sini, saya lihat semakin ramai pemain muda berbakat seperti Haqimi Azim dan Arif Aiman yang bermain bola sepak berkualiti, mengimbangi persaingan dalam liga.
“Sudah tentu apabila mempunyai pasukan terkemuka seperti JDT yang membelanjakan wang besar, tidak semua orang dapat bersaing dengan tahap yang sama seperti JDT tetapi ia bagus untuk bola sepak Malaysia kerana mereka dapat beraksi dalam ACL.”
Katanya lagi, Liga Malaysia semakin kompetitif kerana tahap pemain muda semakin meningkat dari tahun ke tahun.
“Pemain Malaysia semakin meningkat setiap tahun, mereka semakin kompetitif, memang tidak sama setiap tahun.
“Haqimi Azim sudah menjadi pemain lebih baik berbanding dirinya 2 tahun lalu, semua pemain menjadi lebih baik tetapi ini akan mewujudkan tahap yang lebih tinggi untuk liga secara keseluruhan.”
Pada masa sama, katanya, Liga Malaysia cukup bertuah kerana memiliki sokongan majoriti rakyat di negara ini.
“Malaysia sebenarnya didominasi dengan satu sukan (bola sepak). Sebagai warganegara Australia, kami mempunyai terlalu banyak sukan yang mendominasi industri, ada yang tonton bola sepak, ada yang tonton ragbi, golf dan kriket.
“Tetapi di Malaysia, 90 peratus rakyatnya menonton bola sepak sama ada dalam dan luar negara. Sebagai darah campuran Itali, ia membuatkan saya berasa selesa dan itu budaya Malaysia saya gemari.”
Justeru, beliau berharap musim 2023 akan menjadi musim yang menarik buat tontonan peminat.
“Sebagai pemain dan penyokong KL City, saya berharap peminat dapat meningkatkan kehadiran di stadium, menarik lebih peminat terutama budak bandar kelahiran Kuala Lumpur untuk datang dan menonton perlawanan dan menyokong kita.
“Tahun ini, kita mempunyai pasukan Kedah dengan jurulatih baharu yang dijangka bermain bola sepak hebat.
“Sabah juga memperoleh penyerang kebangsaan, Darren Lok dan Irfan Zakaria, mereka pemain bola sepak yang hebat.
“Kami KL City juga sudah meningkat, ini adalah tahun kami yang paling stabil dan berharap kami akan menjadi pasukan yang digeruni. Kami masih di bawah JDT tetapi akan ada 2 ke 3 pasukan yang bertarung untuk tempat ke-2 dan ke-3 liga.”