Malaysia Berita

Safawi Rasid wakil tunggal pemain JDT dalam skuad Piala AFF 2022

Safawi Rasid muncul satu-satunya pemain Johor Darul Ta’zim yang mewakili pasukan negara yang akan beraksi di Piala AFF 2022 bermula minggu hadapan.

Ini setelah nama Safawi tersenarai dalam 23 pemain akhir namun Ramadhan Saifullah Usman tidak tersenarai dalam skuad kali ini atas urusan peribadi.

Malah, jika mengambil kira status Safawi yang akan menyertai Ratchaburi bulan depan, ini bermakna, pertama kali dalam sejarah, tidak ada seorang pun pemain utama JDT yang beraksi di Piala AFF kali ini.

Selain itu, Dion Cools juga tidak akan menyertai skuad Piala AFF kali ini sebaliknya terus kekal di kelab Republik Czech, FK Jablonec.

3 lagi pemain turut tidak terpilih ialah penjaga gol, Azri Ab Ghani, Kogileswaran Raj dan Aliff Izwan Yuslan.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon pada Isnin, 19 Disember 2022 bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu, 21 Disember 2022 sebelum kembali ke tanah air, hari berikutnya.

Seterusnya, skuad Harimau Malaya akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember 2022, dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa, 27 Disember 2022.

Pulang ke tanah air pada hari berikutnya, skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada Hari Perlawanan 4 bagi Kumpulan B pada Jumaat, 30 Disember 2022 dan hanya akan kembali turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Januari 2023.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.

SKUAD PIALA AFF 2022

PENJAGA GOL
Kalamullah, Syihan Hazmi, Rahadiazli

PERTAHANAN
Khuzaimi Piee, Sharul Nazeem, Azam Azmi, Dominic Tan, Quentin Cheng, Fazly Mazlan
TENGAH

Brendan Gan, Mukhairi Ajmal, David Rowley, Stuart Wilkin, Aliff Haiqal, V Ruventhiran, Shamie Iszuan, Hakim Hassan

PENYERANG
Darren Lok, Lee Tuck, Safawi Rasid, Faisal Halim, Haqimi Azim, Sergio Aguero