Perlawanan di Stadium Petaling Jaya berakhir dengan penuh dramatik apabila PJ City meraih gol saat akhir sekali gus mengikat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim 2-2.
Ini kali kedua berturut-turut JDT gagal meraih tiga mata selepas sekadar seri 1-1 ketika menentang Selangor minggu lalu.
Selepas bergelut di separuh masa pertama, JDT mendahului awal separuh masa kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bergson selepas bola terkena tangan pertahanan PJ, Filemon Anyi.
PJ bagaimanapun menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang kebangsaan, Darren Lok pada minit ke-73.
JDT kembali di hadapan apabila Akhyar Rashid mengambil kesempatan di atas kesilapan pertahanan PJ sebelum menjaringkan gol pada minit ke-86.
Dengan perlawanan baru memasuki masa tambahan, PJ City berjaya menembusi pertahanan JDT sebelum R Kogileswaran menjaringkan gol hasil tendangan luar dari kotak penalti, menewaskan penjaga gol Farizal Marlias.
Keputusan kekal 2-2 hingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan PJ berada di tangga ke-10 liga dengan 17 mata selepas 18 perlawanan.
JDT kekal pendahulu liga dengan 43 mata selepas 17 perlawanan, mencatatkan 13 kemenangan, 4 seri dan tanpa sebarang kekalahan musim ini.