Selangor meraih kemenangan dramatik apabila menewaskan Sabah 3-2 dalam saingan Liga Super di Kota Kinabalu.
Ini merupakan kemenangan pertama buat Nidzam Jamil sejak mengambil alih Selangor bulan lalu.
Ini juga merupakan kemenangan pertama buat Selangor dalam Liga Super selepas kali terakhir meraih kemenangan pada Julai lalu.
Pemain muda Selangor berusia 20 tahun dari Myanmar, Hein Htet Aung muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-76.
Selangor menguasai permainan sejak separuh masa pertama, sehingga meraih gol pendahuluan menerusi rembatan jarak jauh Mukhairi Ajmal pada minit ke-24.
Seminit kemudian, Selangor menambah gol kedua menerusi kapten pasukan, Brendan Gan.
Sabah bagaimanapun merapatkan jurang gol 5 minit kemudian apabila sepakan percuma kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar menerjah masuk ke gawang gol Selangor.
Sabah membuat kejutan apabila meraih gol penyamaan hasil rembatan penyerang Sabah, Jose Embalo di luar kotak penalti pada minit ke-41.
Penguasaan kedua-dua pasukan lebih seimbang di separuh masa kedua, namun memasuki 15 minit terakhir, rembatan Htet Aung berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-76.
Sabah cuba meraih gol penyamaan namun keputusan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan.
Selangor kekal di tangga ke-8 dengan 20 mata selepas 17 perlawanan, manakala Sabah kekal di tangga kedua Liga Super dengan 36 mata selepas 18 perlawanan.