Penyerang muda sensasi dunia, Erling Haaland secara rasminya bakal sertai Manchester City pada 1 Julai 2022.
Ini selepas Manchester City mengumumkan bahawa pihaknya telah mencapai persetujuan dengan Borussia Dortmund untuk menandatangani pemain berusia 21 tahun itu.
Klausa pelepasan Haaland bernilai €60 juta dan beliau akan menandatangani kontrak lima tahun bersama Man City.
“Manchester City boleh mengesahkan kami telah mencapai persetujuan dengan Borussia Dortmund untuk perpindahan penyerang Erling Haaland ke kelab pada 1 Julai 2022.
“Perpindahan tetap tertakluk kepada kelab yang memuktamadkan terma dengan pemain itu.”
Ketibaan Haaland akan melengkapkan usaha Pep Guardiola untuk mendapatkan penyerang selepas gagal dalam percubaan mendapatkan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane musim lalu.
Haaland menyertai Dortmund dari Red Bull Salzburg pada Januari 2020 dan menjaringkan 41 gol dalam 41 perlawanan musim lalu.
Di peringkat antarabangsa bersama Norway, beliau sudah menjaringkan 15 gol dalam 17 perlawanan selepas membuat penampilan sulung pada 2019.
Beliau telah menjaringkan 36 gol dalam 34 penampilan untuk kelab dan negara musim ini.
Perjanjian itu juga bermakna Haaland akan menyambung legasi bapanya, Alfie, yang beraksi dengan Man City pada 2000 hingga 2003.
ESPN melaporkan, bapanya memainkan peranan penting dalam rundingan dengan Man City, yang mengambil alih tugas ejennya, Mino Raiola yang tidak sihat ketika itu sebelum beliau meninggal dunia pada usia 54 tahun bulan lalu.