Liverpool bangkit dari ketinggalan apabila mengatasi Villarral 3-2 dengan agregat 5-2 sekali gus menempah tiket ke final Liga Juara-Juara Eropah.
Ini merupakan kali ke-10 Liverpool layak ke final, setelah memenangi kejohanan itu sebanyak 6 kali.
Liverpool bagaimanapun dikejutkan dengan prestasi Villareal apabila ketinggalan 2-0 di separuh masa pertama.
Villareal menjaringkan gol seawal minit ke-3 apabila Boulaye Dia menyudahkan hantaran lintang Etienne Capoue, mudah menewaskan Alisson.
Francis Coquelin pula menggandakan kedudukan menerusi tandukan untuk menyamakan kedudukan secara agregat, empat minit sebelum separuh masa pertama berakhir.
Liverpool terpaksa menunggu sehingga minit ke-62 untuk menjaringkan gol apabila rembatan kencang Fabinho hasil hantaran Mohamed Salah melepasi di celah kangkang penjaga gol Villarreal Geronimo Rulli.
Empat minit kemudian, Luis Diaz yang menggantikan Diogo Jota menanduk masuk hantaran lintang Trent Alexander-Arnold yang sekali lagi menembusi celah kangkang Rulli sekali gus Liverpool menyamakan kedudukan dan agregat 4-2.
Liverpool meraih gol kemenangan pada
minit ke-74 selepas Sadio Mane berjaya melepasi Rulli di luar kotak penalti serta melepasi seorang lagi pertahanan Villareal sebelum menjaringkan gol.
“Kami tidak pernah cenderung untuk menjadikan separuh akhir Liga Juara-Juara ini mudah untuk diri kami sendiri,” kata Alexander-Arnold.
“Ia adalah sukar untuk kami pada separuh masa pertama, kadangkala anda tidak dapat mengawal permainan seperti yang anda mahu.
“Mereka memulakan permainan dengan sangat baik, menjaringkan gol awal yang jelas adalah apa yang mereka mahu lakukan, tetapi seperti saya katakan, kami dapat apa yang kami mahukan.”
Liverpool kini menunggu keputusan perlawanan separuh akhir kedua Champions League di Santiago Bernabeu antara Manchester City yang mendahului Real Madrid secara agregat 4-3 berlangsung esok.
Kemenangan itu terus menghidupkan harapan Liverpool untuk meraih empat gelaran dalam satu musim iaitu Premier League, Champions League dan Piala FA setelah memenangi Piala Carabao.
Perlawanan Champions League final akan diadakan pada 29 Mei, pukul 3 pagi waktu Malaysia di Paris.