Liga Premier Malaysia Berita

Gaji masih belum dibayar, peminat Perak tampil beri sumbangan kepada pemain

Peminat Perak membuat kejutan apabila tampil memberikan sumbangan berbentuk wang kepada pasukan kesayangan mereka.

Ini selepas pasukan itu dikenakan pemotongan 6 mata kerana masih gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada 14 April 2022 meskipun kelab Liga Premier itu sudah dikenakan hukuman pertama pemotongan tiga mata pada 1 April 2022 selepas gagal berbuat demikian pada 31 Mac 2022.

Namun, sejurus selepas perlawanan di Ipoh yang menyaksikan Perak tewas 3-1 kepada Kelantan dalam saingan Liga Premier, seorang peminat yang dikenali sebagai Abang Din menghampiri ke tepi padang bersama balang yang dipenuhi wang kertas.

Beliau kemudian didekati kesemua barisan kejurulatihan dan pemain, termasuk ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

Yusri kemudian menunduk kepada peminat sebagai tanda terima kasih selepas beliau diberitahu balang itu adalah hasil kutipan yang dikumpulkan daripada penjualan air mineral di luar stadium dan sumbangan peminat yang hadir ke stadium pada hari itu.

Sumbangan tersebut disambut oleh kapten pasukan Perak, Firdaus Saiyadi sehingga mendapat sorakan gemuruh di stadium.

“Saya duduk sini empat bulan lebih, saya tengok dalam media sosial, banyak cerita tentang drama,” kata Yusri dalam sidang media selepas perlawanan.

“Biarlah drama berterusan, saya di sini untuk memberi semangat, tunjuk ajar kepada pemain.

“Semestinya kami menginginkan sesuatu yang baik, tambah-tambah kita akan menyambut Aidilfitri.

“Semua orang berkeperluan, mungkin ada sinar, tetap kita tetap perlu mengharungi baki pusingan pertama liga.”

Menurut MFL, jika dalam tempoh 7 hari dari tarikh hukuman kedua dibuat dan bukti bayaran penuh ataupun persetujuan penyelesaian bersama masih tidak diserahkan kepada MFL pada atau sebelum 21 April 2022, maka pada 22 April 2022, isu tunggakan gaji Perak akan dibawa ke Jawatankuasa FIB dan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan seterusnya.

“Sehingga kini, FIB belum menerima sebarang dokumentasi daripada Perak FC untuk meyakinkan FIB mengenai kemampuan Perak menyelesaikan tunggakan gaji 2021 dan 2022 serta kedudukan kewangan kelab dalam mengharungi baki saingan liga bagi musim 2022.