Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil dengan kenyataan berani apabila membuat keputusan untuk mengundur diri daripada terlibat dengan bola sepak sepenuhnya jika Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas dalam Piala Sumbangsih menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, hari ini.
Hasrat untuk mengundur diri pernah diluahkan beliau tahun lalu, namun membatalkan niatnya selepas JDT tewas kepada KL City dalam final Piala Malaysia 2021.
“Jikalau kalah, saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya,” kata TMJ menerusi akaun Instagram miliknya.
“Dan tidak akan terlibat lagi dengan apa-apa aktiviti bola sepak dalam negara.”
Dalam sidang media semalam, jurulatih KL, Bojan Hodak percaya JDT berdepan tekanan lebih tinggi berbanding pasukannya untuk meraih kemenangan pada malam ini.
“JDT lebih berhadapan tekanan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, saya tahu mereka akan lakukan apa yang boleh untuk memenangi perlawanan itu.
“Jadi saya berharap yang perlawanan itu akan mempunyai pengadil yang bagus seperti pada perlawanan akhir dan kami akan berikan permainan yang baik untuk orang ramai.
Bagi, jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui KL merupakan lawan yang sukar tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh dikalahkan.
“Pasukan berada dalam keadaan baik, kami mempunyai skuad penuh dan ramai pemain sudah kembali cergas… kami bersedia untuk cabaran.
“KL City FC adalah sebuah pasukan yang sukar, mereka tunjukkan yang mereka boleh melawan dan tidak mengalah dengan mudah, itu yang akan menjadi suatu cabaran paling sukar untuk kami, dan kami akan lakukan yang terbaik.”