Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon membuat keputusan untuk memilih E. Elavarasan sebagai penolong jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.
Ini selepas jurulatih kelahiran Selangor yang berusia 60 tahun itu dikaitkan sebagai calon pilihan untuk menggalas tugas tersebut, setelah dianggap menepati kriteria utama yang dikehendaki iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam Liga Super dan Liga Premier.
“Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini,” kata Pan-gon kepada media FAM.
“Saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau yang mana saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.
“Saya melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik.”
Elavarasan yang merupakan ketua jurulatih Sarawak United FC sebelum ini, sudah pun melepaskan jawatan yang disandangnya sejak Februari 2020 yang mana beliau berjaya membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Premier 2021, sekali gus layak ke Liga Super 2022.
“Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan,” kata Elavarasan.
“Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan-gon.
“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan-gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya dan tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United.”
Elavarasan akan menyertai rakan barisan kejurulatihan yang baharu iaitu Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Jun-ho dari Korea Selatan (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jae-hun dari Korea Selatan (jurulatih analisis prestasi).
Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kem latihan pusat pertama mereka di bawah kendalian Pan Gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura.