Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi: Fokus kepada Terengganu, kalau ada tawaran saya pertimbangkan

Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain mengakui beliau sedia mempertimbangkan tawaran sebagai penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan kepada Kim Pan-gon.

Ini meskipun beliau tidak membuat permohonan rasmi kepada FAM untuk mengisi jawatan itu.

“Saya tak pernah memohon sebab fokus saya pada Terengganu,” katanya kepada Bernama.

“Saya pun tidak terima tawaran daripada FAM untuk jawatan itu.

“Saya rasa kalau tawaran itu berlaku mungkin saya boleh pertimbangkan tetapi apa-apa pun saya hanya fokus kepada persiapan pasukan saya.”

Bagaimanapun, Nafuzi tidak menyangka beliau dicalonkan sebagai salah seorang calon untuk mengisi jawatan itu.

“Nak cakap gembira tidak, tapi terkejut dan tak sangka nama dicalonkan sebab di Malaysia ramai jurulatih lagi berpengalaman berbanding saya yang baru dalam Liga Malaysia.

“Sekarang saya tengah cari pengalaman dan belajar, bila betul-betul bersedia sampai masanya bolehlah.”

Nafuzi dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu pada hujung musim 2019 selepas lima bulan memangku posisi itu susulan peletakan jawatan Irfan Bakti Abu Salim.

Di bawah kendaliannya, Terengganu menamatkan saingan Liga Super musim 2020 di tempat ke-3 dan ke-4 pada 2021,selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim lepas.

Selain Nafuzi, antara nama yang dikaitkan adalah bekas pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan, pengendali Sarawak United E. Elavarasan, penolong jurulatih Selangor, Nidzam Jamil dan penolong jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid.