Liga Super Malaysia Berita

Selangor: Kami tidak lepaskan Syahmi Safari begitu sahaja, JDT bayar kami

CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengakui pasukannya tidak melepaskan Syahmi Safari begitu sahaja, sebaliknya Selangor menerima yuran perpindahan bagi membolehkan pemain itu ke JDT.

Bukan sahaja Syahmi, Selangor juga menerima yuran perpindahan untuk Rodney Celvin yang berhijrah ke Kedah musim ini.

“Kami tidak melepaskan Syahmi dan Rodney begitu sahaja tanpa membuat sebarang keuntungan,” kata Johan kepada Sinar Harian.

“Kami masih berjaya buat duit yang banyak selepas mereka meninggalkan Selangor FC.

“Sebab kedua-dua kelab itu (JDT dan Kedah) ada bayar kepada kami. Tapi jumlah kedua-dua kelab itu bayar kita tidak boleh diberitahu, undisclosed.”

Yuran perpindahan perlu dibayar kerana Syahmi masih mempunyai kontrak sehingga 2023 manakala Rodney mempunyai kontrak sehingga 2022.

Dalam pada itu, Johan berkata, Selangor akan membariskan sebilangan besar pemain muda bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2022.

“Harapan pengurusan dan peminat pada musim 2022 cukup tinggi untuk melihat Selangor untuk merealisasikan sasaran tersebut seterusnya berada dalam kelompok tiga terbaik Liga Super.

“Kita akan menggunakan pemain muda yang mana majoritinya sudah beraksi dalam pasukan utama. Sekarang ini, mereka wajib capai sasaran beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia atau Piala AFC.

“Tekanan memang ada, namun ia bukanlah masalah memandangkan pasukan sudah semestinya akan bekerja keras untuk mencapai sasaran tersebut.”