Malaysia Berita

FAM: Laporan bedah siasat prestasi skuad Harimau Malaya dibentang bulan depan

Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, laporan bedah siasat terhadap prestasi skuad Harimau Malaya dalam Piala Suzuki AFF 2020 akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan pada bulan depan.

Katanya, beliau dan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe kini sedang menyiapkan laporan penuh tersebut.

“Saya jangkakan Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan itu akan diadakan paling awal pada Januari depan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Namun, setakat ini kita belum dapat putuskan tarikh sebenar.

“Secara keseluruhannya, mesyuarat berkenaan akan membincangkan prestasi pasukan kebangsaan setelah keputusan pada Piala AFF khususnya sasaran kita agak off track.”

Katanya lagi, laporan itu akan dibentangkan secara terperinci termasuk prestasi pemain dan jurulatih.

“Apa yang saya boleh katakan, kita akan memberikan laporan terperinci yang melibatkan persediaan pasukan, corak taktikal permainan termasuk prestasi pemain dan jurulatih.

“Kalau laporan itu melibatkan jurulatih, ia terserah kepada jawatankuasa. Saya sendiri pun tak boleh jawab kerana ia berdasarkan kepada prestasi secara keseluruhan pasukan kebangsaan sepanjang tahun.”

Skuad kebangsaan tewas 4-1 kepada Indonesia sekali gus tersingkir daripada Kumpulan B Piala AFF 2020.