Malaysia Berita

FAM hantar permohonan rasmi kepada AFF, minta tukar penjaga gol

FAM menghantar permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk menukar pemain di posisi penjaga gol skuad kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura.

Ini berikutan penjaga gol utama Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim dijangkiti COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, berdasarkan undang-undang pertandingan, tiada sebarang penambahan dibenarkan selepas tarikh tutup pendaftaran pemain, kecuali pertukaran posisi penjaga gol.

“Bukan tambah pemain tetapi kita minta untuk dapatkan penjaga gol sahaja,” katanya kepada Bernama.

“Sekarang kita cuma ada dua penjaga gol yang boleh beraksi, jadi kita nak tiga. Untuk posisi penjaga gol kita boleh mohon kebenaran menggantikan pemain sedia ada, itu memang mengikut lunas undang-undang pertandingan.

“Pemain lain tak boleh, memang dalam undang-undang pertandingan di FIFA atau AFC begitu. Contohnya jika penjaga gol cedera kita kena sahkan dengan surat doktor baru pertukaran dibenarkan.”

Khairulazhan dan Faisal yang tidak bergejala diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian COVID-19 dilakukan pada setiap hari.

“FAM memantau rapat perkembangan dan tahap kesihatan mereka,” kata Mohd Saifuddin.

Beliau berkata sekiranya mendapat maklum balas positif daripada pihak penganjur, FAM akan menyerahkan kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk memanggil pemain gantian.