Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi bayangan bahawa sektor sukan akan dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.
Ini selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Faizal Azumu mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar sukan padang (outdoor sports) dan gimnasium dibuka, dengan harapan Kementerian Kesihatan dapat menyokong cadangan itu.
“Permintaan untuk ‘outdoor team sports’ adalah wajar,” kata Khairy menerusi akaun Twitter miliknya.
“Menteri KBS memang prihatin terhadap sektor sukan. Tadi dibincang dan diputuskan di sidang MKN COVID-19.
“Berita yang baik akan diumumkan.”
Untuk pengusaha gimnasium, Khairy berkata pihaknya akan merangka panduan khusus dengan MKN.
“Ini tidak akan mengambil masa yang lama tetapi oleh kerana pusat kecergasan adalah secara indoor, kita mesti tetapkan SOP tertentu. Sedang mengusahakannya dengan segera.”