Cristiano Ronaldo muncul penjaring terbanyak di peringkat antarabangsa apabila menjaringkan dua gol ketika Portugal bangkit menewaskan Ireland 2-1 dalam saingan peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia malam tadi.
Ini bermakna, beliau mengatasi Ali Daei dari Iran sebagai penjaring gol antarabangsa dengan 111 gol.
Ronaldo yang baru sahaja menyertai Manchester United menjaringkan dua gol ketika Portugal ketinggalan 1-0 sepanjang separuh masa kedua hasil jaringan John Egan.
Namun, dua minit sebelum perlawanan memasuki masa tambahan, Goncalo Guedes membuat hantaran silang dari sayap kanan, disambut oleh Ronaldo yang menanduk masuk gol untuk menyamakan kedudukan sekaligus memecahkan rekod dunia yang selama ini dipegang oleh Ali Daei.
Dengan masa tambahan mencecah minit terakhir, Ronaldo sekali lagi berjaya menyambut hantaran silang dan melakukan tandukan yang melepasi gawang gol pihak lawan, memberikan kemenangan kepada pasukannya serta mencatatkan jaringan ke-111 buat dirinya.
“Rekod ini adalah milik saya dan ia unik,” kata Ronaldo selepas perlawanan.
🐐 Surpreender o planeta, inspirar a pátria, 𝙈𝘼𝙍𝘾𝘼𝙍 𝘼 𝙃𝙄𝙎𝙏Ó𝙍𝙄𝘼!
O Recorde do Mundo de Golos por Seleções é de @Cristiano Ronaldo! 🎖🌍 #VamosComTudo pic.twitter.com/6KpwqEDsA1
— Portugal (@selecaoportugal) September 1, 2021
“Saya sangat gembira dan ini satu lagi untuk karier saya. Ini mengenai motivasi dan keinginan saya untuk terus bermain bola sepak, juga dari kontrak yang saya buat sebelum ini, dan saya gembira dapat pulang.
“Sekiranya kita bangun setiap hari dengan cita-cita untuk memotivasi dan melakukan yang lebih baik, untuk menggembirakan peminat dan anak-anak kita, itu penting.
“Ini satu lagi rekod untuk muzium.”
Ronaldo menyamakan rekod Daei yang menjaringkan 109 gol pada awal tahun ini di Euro 2020, dengan dua gol dalam aksi peringkat kumpulan menentang Perancis. Kedua-dua gol ketika seri 2-2 itu merupakan hasil sepakan penalti.
Rekod penjaring wanita antarabangsa yang terbanyak dipegang oleh pemain bola sepak wanita Kanada, Christine Sinclair yang menjaringkan 186 gol.
Ronaldo juga melakar sejarah Euro ketika beliau menjaringkan dua gol dalam perlawanan peringkat kumpulan pembukaan Portugal menentang Hungary untuk menjadi penjaring terbanyak kejohanan sepanjang zaman dengan 11 gol.
Ronaldo juga adalah satu-satunya pemain yang menjaringkan gol dalam lima edisi Euro berturut-turut.
Pemain berusia 36 tahun itu membuat penampilan pertama di peringkat antarabangsa pada tahun 2003 dan kini beliau telah mencatatkan 180 penampilan dengan Portugal, menjadikannya setara dengan pemain pertahanan Paris Saint-Germain, Sergio Ramos sebagai pemain Eropah dengan penampilan paling banyak untuk pasukan kebangsaannya.
Ronaldo juga meraih dua trofi dengan Portugal, setelah membawa negaranya muncul juara Euro 2016 dan juara UEFA Nations League pada 2019.