Liga Super Malaysia Berita

Tambah pasukan Liga Super? FAM, MFL sangkal dakwaan Faizal Azumu

Belum pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sudah menimbulkan kontroversi berhubung penambahan jumlah pasukan Liga Super.

Dalam satu video yang tular, Faizal pada mulanya mengakui beliau tidak mempunyai kuasa untuk menambah jumlah pasukan liga.

Namun, beliau mendakwa pernah mengadakan perbincangan dengan MFL dan FAM mengenai penambahan pasukan dalam Liga Super menjadi 16 buah pasukan.

Justeru, beliau berjanji akan melakukan sesuatu bagi menyelamatkan Perak dari tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas video itu tular, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan tampil mengumumkan format kenaikan dan penyingkiran Liga Malaysia bagi musim 2021/2022 masih kekal seperti biasa.

Katanya, format Liga Super kekal 12 pasukan menyaksikan dua pasukan tercorot akan tersingkir ke saingan Liga Premier, manakala juara dan naib juara Liga Premier akan dinaikkan pangkat bermain di Liga Super pada musim depan.

“Format Liga Super 2021 akan kekal di mana sebanyak 12 pasukan dalam satu pertandingan dan dua pasukan tercorot akan tersingkir ke saingan Liga Premier pada tahun 2022.

“Sementara juara dan naib juara Liga Premier musim 2021 pula akan bermain dalam kempen Liga Super 2022 seperti mana yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia edisi 2021 bagi format Liga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sejam kemudian, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam tampil menafikan dakwaan Faizal.

“FAM ingin menyatakan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibincangkan langsung secara rasmi atau tidak rasmi oleh Persatuan ini, sama ada menerusi Presiden atau Setiausaha Agungnya dengan mana-mana pihak lain.

“FAM juga ingin memaklumkan bahawa segala keputusan atau ketetapan bagi jumlah pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super dan Liga Premier serta penentuan jumlah pasukan yang turun dan naik bagi kedua-dua liga berkenaan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa MFL dan ahli-ahli lembaga pengarahnya.”

Ini pastinya bukan permulaan baik buat Faizal sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.