Malaysia Berita

Tiga pemain utama Harimau Malaya terlepas perlawanan menentang Thailand

Berita buruk buat skuad Harimau Malaya apabila kehilangan pemain pertahanan kiri La’Vere Corbin-Ong, pemain tengah Syamer Kutty Abba dan pemain sayap Mohamadou Sumareh akibat penggantungan, sekali gus terlepas peluang untuk beraksi menentang Thailand.

Ketiadaaan ketiga-tiga pemain ini dilihat menyukarkan lagi perancangan Tan Cheng Hoe yang memburu kedudukan tempat ketiga dalam Kumpulan G.

Namun Cheng Hoe menganggap ia membuka ruang kepada pemain lain untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

“Ketiadaan Corbin-Ong di bek kiri akan sedikit sebanyak menjejaskan benteng pertahanan negara,” katanya kepada Bernama.

“Kita kena sediakan kesebelasan terbaik untuk aksi Thailand ini, kami barisan kejurulatihan sedang berbincang mengenai perkara itu.

“Saya yakin pemain-pemain lain juga mahu mempamerkan aksi terbaik jika diturunkan nanti.

“Walaupun Thailand turun tanpa beberapa pemain bintang, mereka ada banyak pemain muda berkualiti baik yang perlu diawasi.”

Apabila ditanya mengenai kehilangan bapanya, Tan Chooi Siak, 95, yang meninggal dunia kerana sakit tua pada Jumaat lepas, beberapa jam sebelum menentang Vietnam, Cheng Hoe tetap fokus dengan tugasnya.

“Setiap hari saya kena fokus kepada pasukan.

“Walaupun kehilangan orang tersayang, disebabkan tugas dan tanggungjawab sebagai jurulatih saya tak boleh tinggalkan pasukan pada waktu ini.

“Dalam keadaan itu, sesiapa pun akan berasa sedih, tetapi saya kena pikul tanggungjawab demi negara.

“Saya ada berhubung dengan ahli keluarga, mereka katakan ‘teruskan tanggungjawab di sini.’

“Segala urusan kematian ayah saya serah kepada ahli keluarga uruskan.”