Premier League Berita

[VIDEO] Alisson cipta sejarah, jadi penjaga gol pertama jaringkan gol untuk Liverpool

Penjaga gol Liverpool, Alisson muncul wira apabila menjaringkan gol di saat akhir untuk meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas West Brom.

Penjaga gol Brazil itu bertindak meninggalkan gawangnya pada minit ke-95 dan berada di kotak penalti West Brom untuk membantu pasukannya.

Hasilnya cukup luar biasa apabila sepakan penjuru Trent Alexander-Arnold tepat menuju ke arah Alisson yang terus menanduk masuk bola tersebut, sekali gus disambut dengan girang oleh rakan sepasukannya.

Ini adalah pertama kalinya dalam sejarah Liverpool bahawa penjaga gol menjaringkan gol kompetitif.

Alisson menujukan gol yang dijaringkannya kepada bapanya yang meninggal dunia pada bulan Februari lalu.

“Saya berusaha untuk berada di kedudukan yang terbaik dan cuba membantu rakan saya menghalang pemain pertahanan lawan, tetapi tidak ada yang mengikuti saya.

“Saya bernasib baik dan bersyukur, kadang-kadang perkara ini tidak dapat jelaskan.

“Saya terlalu beremosi, bulan terakhir ini banyak yang telah berlaku dengan saya dan keluarga, tetapi bola sepak adalah hidup saya, saya bermain sejak saya masih ada ayah saya. Saya harap dia ada di sini untuk melihatnya, saya yakin dia sedang meraikan dengan Tuhan di sisinya.”

Dengan baki dua perlawanan sahaja lagi, Liverpool berada di tempat kelima, satu mata di belakang Chelsea dan tiga di belakang Leicester City.

Chelsea akan bertemu Leicester pada Rabu ini. Liverpool perlu mencatatkan kemenangan dalam kedua-dua perlawanan jika mahu layak ke Liga Juara-juara Eropah musim depan.