Meskipun akur dengan kekalahan pertama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini, namun Benjamin Mora akui kecewa sikap kurang semangat kesukanan ditunjukkan Terengganu.
Beliau berkata, pemain Terengganu sengaja menjatuhkan diri dengan alasan cedera, malah sering cuba menganggu tempo permainan.
“Mereka guna apa saja cara untuk menghilangkan momentum JDT dengan sering melambatkan permainan dan membuang masa,” katanya selepas perlawanan.

“Pemain lawan mula menjatuhkan badan dengan alasan mengalami kecederaan, bagi saya itu semua tiada semangat kesukanan.
“Mereka tahu sukar nak kalahkan JDT dan sebaik saja mendahului, kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya untuk mengganggu momentum permainan dan itu strategi mereka.
“Bagi saya, cara itu menjejaskan keindahan permainan bola sepak yang sepatutnya dimainkan dengan lebih taktikal.
“Mana semangat kesukanan? Mereka juga beraksi dengan semua pemain berkampung di kawasan sendiri dan permainan Terengganu menyukarkan kami mencipta jaringan tapi rasionalnya biarlah bermain bola sepak dengan permainan terbuka dan bukan jatuhkan badan dan lewatkan permainan.”
Mora bagaimanapun tidak terlalu bimbang, memandangkan JDT masih menerajui Liga Super.
“Kita tidak pernah kalah selama hampir dua tahun, saya sedih dan saya minta maaf bukan sahaja kepada pihak pegurusan tetapi juga peminat.
“Tetapi ini adalah bola sepak…sentiasa ada kemungkinan sama ada menang, kalah atau seri. Ya, kita tidak gembira dengan keputusan itu tetapi jangan risau kita akan dapatkan semula momentum kemenangan itu.”