Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui bimbang jika ada pemainnya yang dilayangkan kad merah ketika berdepan Pahang tempoh hari.
Ini selepas beberapa pemain JDT jelas menunjukkan rasa tidak puas hati apabila dinafikan sepakan penalti meskipun bola terkena tangan pemain lawan ketika itu.
Malah, Gonzalo Cabrera yang menyatakan perasaan tidak puas hatinya kepada pengadil, dilayangkan kad kuning akibat tindakannya.
Ini juga setelah Pahang hilang seorang pemain apabila Ezannie Mat Salleh diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua susulan tindakannya melakukan terjahan keras terhadap Cabrera pada minit ke-70.
“Pemain sudah tentu sedang berasa kecewa,” katanya.
“Terdapat insiden bola terkena tangan dalam kotak penalti. Saya perlu melihatnya semula dengan lebih teliti tetapi ia kelihatan bola terkena tangan.
“Sudah pasti apabila tidak diberikan sepakan penalti, ia akan membuatkan kesemua kami, terutama pemain berasa kecewa.
“Dan ia juga sesuatu yang mengecewakan buat pasukan lawan apabila mereka mendapat kad. Saya dapat lihat mereka juga agak marah.”
Bagaimanapun, Mora berpendapat ia sebahagian daripada lumrah dalam bola sepak.
“Bagi saya, ia sebahagian daripada bola sepak. Selagi kita menghormati pengadil dan pihak berkuasa, dan selagi kami menghormati lambang kami, saya boleh terima seadanya.
“Kita semua manusia biasa dan ini merupakan satu pertandingan dan saya juga kadang-kadang berasa kecewa.”