Pemain dan pegawai pasukan Liga Malaysia dijadual menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula Mei ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kesemua pemain dan pegawai pasukan bertanding akan menerima suntikan itu pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“KBS mengemukakan 4,000 nama dan ia dipecahkan kepada empat fasa, bagi Liga Malaysia masuk dalam fasa kedua dan saya jangkakan fasa kedua akan bermula pada Mei ini,” katanya kepada Bernama.
“Kita juga perlu memadankan dengan jadual bekalan vaksin, setiap kali mereka yang menerima suntikan untuk vaksin, stok satu lagi disimpan untuk kitaran seterusnya.”
Bulan lepas, KBS mengesahkan senarai nama 4,000 atlet dan pegawai diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin COVID-19 yang telah dihantar kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Dengan perkembangan terbaru itu, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pasukan yang akan bertanding dalam AFC Champions League dan Piala AFC selain skuad Harimau Malaya yang akan meneruskan baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.