AFC mengumumkan bahawa UAE akan menjadi tuan rumah bagi baki perlawanan kumpulan G bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada bulan Jun ini.
Ini bermakna Harimau Malaya akan beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan menentang UAE pada 3 Jun, Vietnam pada 11 Jun dan Thailand pada 15 Jun, semuanya di gelanggang negara Timur Tengah itu.
Malah, ia memberikan kelebihan kepada skuad kebangsaan UAE yang beraksi di tanah airnya sendiri untuk mengutip mata ketika menentang Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand.
Kali terakhir Harimau Malaya beraksi di UAE adalah pada Sept 2015, ketika tewas 10-0, kekalahan terbesar yang pernah dicatatkan dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Ia juga menyebabkan Malaysia jatuh dalam ranking FIFA, serta membuatkan Dollah Salleh meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan ketika itu.