Liga Super Malaysia Berita

Scott Ollerenshaw mahu tingkatkan kualiti pasukan Sabah, bukan sekadar sasar piala

Scott Ollerenshaw mendedahkan perkara pertama yang mahu dilakukannya sebagai pengarah teknikal adalah meningkatkan kualiti jurulatih tempatan dalam pasukan Sabah.

“Dari segi peranan saya, kami akan bermula dari atas ke bawah. Jurulatih… kami mempunyai beberapa jurulatih muda Sabah yang sangat berbakat,” katanya kepada Borneo Post.

“Kami memiliki Burhan (Ajui), Johnny Dominicus, Jelius Ating yang semuanya bekas rakan sepasukan saya dan mereka masih terlibat … kami akan mendidik mereka dan mendapatkan lesen Fifa Pro supaya mereka dapat menjadi jurulatih di peringkat tertinggi di sini terutamanya pasukan Liga Super.

“Jadi, itu nombor satu, sangat penting. Jurulatih muda yang mempunyai lesen B, mereka perlu dapatkan Lesen A dan mereka yang mempunyai lesen C kita memerlukannya untuk mendapatkan Lesen B.

“Kita perlu mendapatkan sebilangan besar jurulatih muda Sabah untuk mendidik pemain dan dilesenkan sepenuhnya.”

Ollerenshaw berkata tugasan keduanya adalah membantu Kurniawan Dwi Yulianto berhubung prestasi pemain import.

“Coach Kurniawan adalah bos pasukan, beliau mengendalikan pasukannya. Peranan saya terletak kepada pemain import. Membantu sebagai mentor.”

Ollerenshaw juga percaya bahawa Sabah mesti menstabilkan pasukan terlebih dahulu dan meningkatkan kualiti pasukan sebelum menyasarkan sebarang piala.

“Saya tidak percaya kita perlu menyasarkan berada di posisi ini atau posisi itu kerana ia memberi tekanan yang tidak perlu kepada pemain, jurulatih dan semua orang dalam kelab.

“Yang saya percaya adalah, untuk tahun ini adalah mengenai penstabilan dan Sabah berusaha untuk mencapai setinggi yang mereka boleh.

“Jadi, kedudukan mana sahaja yang dicapai oleh pasukan tahun ini, mereka harus lebih baik pada tahun 2022 dan lebih baik lagi pada tahun 2023 … ini semua mengenai peningkatan.

“Tetapi untuk membuat kenyataan bahawa kita akan memenangi piala ini atau itu, saya rasa itu tidak membantu sesiapa.

“Sekiranya kita dapat memenangi sesuatu, itu hebat tetapi mari kita majukan diri setiap tahun.”