Presiden Sarawak United, Posa Majais mendedahkan bahawa pihaknya berhasrat mahu semua perlawanan ‘home’ di Kuching, Sarawak diadakan di Lembah Klang.
Ini selepas pihaknya mendapati pasukan pelawat akan menghadapi kesukaran untuk hadir ke Sarawak kerana perlu melalui tempoh kuarantin sebelum dibenarkan beraksi.
Justeru, pihaknya akan mengemukakan permohonan segera kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Sarawak adalah kawasan zon merah, dan pasukan pelawat perlu mematuhi tempoh kuarantin wajib sebelum dibenarkan beraksi di Kuching dengan Liga Premier bermula pada 5 Mac nanti,” katanya kepada NST.
“Kami percaya pasukan pelawat tidak akan ingin datang jika diwajibkan menjalani kuarantin. Kerajaan negeri tidak akan melonggarkan sekatan dalam masa terdekat kerana Sarawak masih merupakan kawasan zon merah.
“Kami akan memutuskan dan mengemukakan rayuan kepada MFL tidak lama lagi. Kami memerlukan bantuan MFL untuk memilih lokasi sesuai di Lembah Klang untuk perlawanan kami.”
Namun, Posa berkata segala-galanya tertakluk kepada jadual Liga Malaysia yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.