CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan bahawa pasukan Liga Malaysia dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Ini selepas kerajaan membenarkan pasukan Liga Malaysia berlatih pada 15 Februari dan sepak mula saingan musim 2021 akan bermula pada 5 Mac ini.
Katanya, kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan juga termasuk dengan kebenaran merentas daerah dan negeri.
“Kelulusan perlawanan persahabatan dan latihan turut membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah bagi perlawanan persahabatan itu yang mana pasukan harus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri masing-masing untuk tujuan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.
“Kebenaran ini seharusnya diiringi dengan disiplin tinggi oleh pemain dan pegawai pasukan supaya mereka tidak dijangkiti pandemik berkenaan sekali gus akan menyusahkan banyak pihak.”
Pada masa sama, keputusan sepak mula pada 5 Mac itu juga adalah selari dengan permohonan dari FAM untuk memberi ruang kepada pasukan kebangsaan melakukan persiapan untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
“Pasukan negara meminta supaya membuat persiapan akhir dengan mengadakan sesi latihan pusat pada bulan depan selepas perlawanan kelayakan dijangka dipinda ke Jun depan. Ini penting memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe sudah setahun tidak berlatih bersama.
“Perjuangan pasukan kebangsaan adalah agenda nasional di mana wakil kelab berasa bertanggungjawab dalam memastikan Harimau Malaya berada dalam landasan terbaik untuk mendapat slot automatik ke pentas Piala Asia 2023.
“MFL juga komited untuk menamatkan kempen liga dengan perlawanan penuh.
“Kami tidak mahu mengambil risiko yang akan memberikan kesan kepada penajaan selain langkah mengurangkan perlawanan atau membatalkan kejohanan lain seperti Piala Malaysia atau Piala Cabaran terpaksa diambil jika kalendar Liga Malaysia bermula lebih lambat.”