Curran Ferns mengesahkan beliau sudah menerima seluruh tunggakan gajinya yang berjumlah RM97,500 dari Melaka pada hari Rabu, bagaimanapun Narupon Wild masih menunggu tuntutannya.
Narupon, 32, kini beraksi dengan kelab Thailand, Chiangmai FC mendedahkan Melaka sudah pun menghubunginya berhubung kelewatan bayaran pampasan gajinya yang berjumlah RM241,726.69.
“Seorang wakil Persatuan Bola Sepak Melaka United menghubungi peguam saya untuk meminta maklumat akaun bank saya pada hari Selasa,” katanya kepada NST.
“Dia memberitahu peguam saya bahawa wang itu akan dimasukkan pada hari yang sama.
“Pada waktu petang hari yang sama, peguam Melak, Zhafri Aminurashid menghubungi peguam saya dan meminta maklumat bank saya sekali lagi.
“Pada malam itu, peguam saya menghubungi Melaka dan diberitahu bahawa pemindahan dalam talian tidak dapat dilakukan kerana ada had harian. Melaka perlu membayarnya melalui kaunter bank.
“Melaka sepatutnya sudah tahu mengenai had pemindahan wang. Setakat hari ini (semalam), saya belum menerima pembayaran dari Melaka.”
Melaka mempunyai tempoh sehingga 17 Februari untuk menyelesaikan tuntutan dari Narupon, sebelum tindakan lebih berat dikenakan oleh FIFA jika gagal melangsaikannya.