CEO Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri menafikan dakwaan Curran Ferns bahawa pihaknya membuat kenyataan palsu berhubung penyelesaian bayaran tunggakan gaji.
Ini selepas Curran mendakwa beliau masih belum mendapat sebarang bayaran, walaupun telah dilangsaikan seperti yang diumumkan oleh Melaka.
Namun Mohd Saiful menjelaskan kemungkinan terdapat kelewatan dalam urusan perpindahan wang melalui akaun bank.
“Bagi pihak kita, sudah selesai,” katanya kepada Berita Harian.
“Bukti resit dan slip bayaran semua ada pada kita. Pembayaran itu sudah dibuat semalam. Ferns jangan tuduh kita macam itu, dia kena tanya kita supaya kita boleh jelaskan. Tak perlulah nampak kita jahat sangat, kalau tak bayar kita akan kata tak bayar.
“Kita sudah selesaikan, kita ada bukti pembayaran, tapi kita hubungi bank kata ada masalah ‘line’, cuma (duit itu) akan masuk hari ini juga.”
Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) semalam menerusi akaun Twitternya mendakwa Curran yang diwakili mereka belum menerima bayaran setakat jam 11 pagi semalam.
“Sehingga hari ini, 10 Februari jam 11 pagi, pemain yang diwakili PFAM iaitu pemain pasukan utama, pemain Piala Presiden Melaka dan Curran Singh Ferns masih belum menerima apa-apa bayaran seperti yang dinyatakan dalam kenyataan (MUFC) ini.”
Melaka United berjaya menyelesaikan tunggakan gaji dan tuntutan lebih RM915,000 termasuk tunggakan gaji dan elaun pemain import musim lalu Uche Agba dan Curran Ferns.
Pembayaran tunggakan gaji dan elaun pemain serta pegawai pasukan musim lalu juga mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Tunggakan keseluruhan bekas pemain import, Narupon Wild Putsom akan dilunaskan dalam masa terdekat bagi mengelak tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021.