Malaysia Berita

Luqman Hakim tersenarai buat pertama kali dalam skuad kebangsaan

Tan Cheng Hoe mengesahkan bahawa Luqman Hakim Shamsudin tersenarai dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketua jurulatih itu berkata, pemain berusia 18 tahun itu akan menyertai kem latihan pusat pada bulan Mac sebagai persiapan menghadapi perlawanan menentang UAE dan Vietnam.

“Kita tahu Luqman dah kembali daripada kecederaan bersama kelabnya di Belgium dan dia kembali berlatih dan bermain dengan kelabnya,” katanya kepada Arena Metro.

“Jadi saya menyenaraikan namanya untuk memberi peluang kepada Luqman dalam latihan Mac nanti di mana pengalaman di sana boleh membantu kita.

“Saya harap dia boleh memberi sesuatu dan sumbangan buat pasukan dan harap dia bersedia.”

Pada masa sama, Cheng Hoe berkata kem latihan pusat tidak akan dijalankan bulan ini sebaliknya hanya memanggil pemain pada jendela perlawanan antarabangsa pertengahan bulan depan.

Beliau juga berharap dapat mengadakan aksi persahabatan jika AFC membuat keputusan untuk menunda perlawanan pada bulan Jun.

“Setakat sekarang saya tak dapat pengesahan dari AFC lagi. Tapi kalau ditunda ke Jun, saya harap kita boleh buat satu atau dua perlawanan sama ada kita keluar negara atau pasukan luar dibenarkan masuk dalam negara.

“Itu semua tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa dan saya harap kita dapat berlatih mengikut perancangan.”

Malaysia bakal menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum bertemu Vietnam di Bukit Jalil pada 30 Mac dan Thailand di Bangkok pada Jun ini.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata pihaknya memberi tempoh sehingga 15 Februari kepada semua pasukan kebangsaan untuk bersetuju mengadakan perlawanan pada bulan Jun dengan menggunakan format secara karnival atau berpusat.