Hadi Fayyadh Abdul Razak menghargai peluang yang diperoleh untuk beraksi dengan Azul Claro Numazu yang akan bersaing dalam Liga J3 tahun ini.
Ini selepas penyerang berusia 20 tahun itu dipinjamkan dari kelab asalnya, Fagiano Okayama selama semusim.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan ini, bagi menghargai peluang yang telah diberikan bersama pasukan ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
“Saya tidak sabar untuk memulakan aksi bersama pasukan Numazu dan mengharapkan segala yang terbaik bagi musim 2021.”
Hadi juga memaklumkan beliau memilih jersi nombor 27 sebagai simbolik kepada dirinya untuk menjadi lebih baik bersama kelab baharunya selepas sebelum ini memakai jersi nombor 28 bersama Fagiano Okayama.
Hadi diperkenalkan secara rasmi sebagai salah seorang daripada 10 pemain baharu kelab Azul Claro Numazu bagi musim 2021, pada satu majlis di pusat latihan kelab berkenaan di wilayah Shizuoka, Jepun.
Keputusan untuk membenarkan Hadi ke kelab Azul Claro Numazu diputuskan bersama antara Fagiano Okayama dan Yakult Malaysia, bagi membolehkan pemain berkenaan memperoleh lebih banyak minit permainan, selain memberi pengalaman baharu kepada dirinya dalam saingan J3.