Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan FC lantik Marco Ragini sebagai jurulatih baharu

Kelantan buat pertama kali mengumumkan Marco Ragini sebagai jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Premier musim 2021.

Jurulatih berusia 53 tahun yang berasal dari San Marino itu baru sahaja dapat bertemu pasukan kejurulatihannya selepas tiba di Kota Bharu.

Menurut laman Facebook rasmi TRW Kelantan FC, Ragini berkata beliau berhijrah sejauh 12,0000 kilometer bukan untuk bercuti ketika taklimat pertamanya.

Berdasarkan rekod Ragini, beliau dilahirkan di San Marino namun mempunyai dua kewarganegaraan iaitu San Marino dan Itali.

Beliau mempunyai Lesen Pro UEFA dan sudah menjadi jurulatih sejak 1998 apabila memulakan karier kejurulatihannya sebagai penolong jurulatih San Marino B-19 dan B-21 serta skuad kebangsaan senior pada 2006.

Beliau juga pernah menjadi penolong jurulatih di dua kelab Liga Switzerland, AC Bellinzona dan FC Chiasso.

Ragini akhirnya mendapat peluang sebagai ketua jurulatih apabila dilantik oleh kelab Liga Lithuania, Dainava Alytus pada 2014.

Pada 2015, beliau mengendalikan dua pasukan apabila dilantik oleh kelab Liga Switzerland, FC Locarno sebelum berhijrah ke kelab Liga Slovakia, Dolny Kubin.

Beliau kemudian berhijrah ke Afrika pada 2016 apabila dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Liga DR Congo, Athletic Club Ujana.

Setahun kemudian, beliau berhijrah ke Nigeria pula apabila dilantik sebagai jurulatih Garden City Panthers FC.

Yang paling terbaru, Ragini berhijrah ke Asia apabila dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Liga Mongolia, FC Ulaanbaatar pada 2018.