Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas mendominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) apabila memenangi lima kategori utama yang dipertandingkan.
Tiga pemain JDT meraih trofi dalam kategori posisi dengan Benjamin Mora memenangi anugerah jurulatih terbaik manakala JDT memenangi anugerah pasukan terbaik untuk kali ketiga berturut-turut.
Farizal Marlias dinobatkan selaku penjaga gol terbaik buat kali kelima selepas memenanginya pada 2009, 2015, 2018 dan 2019, manakala Aidil Zafuan Abdul Radzak memenangi anugerah pemain pertahanan terbaik kali keempat selepas memenanginya pada 2009, 2010 dan 2012.
Safawi Rasid pula dipilih sebagai pemain tengah terbaik buat kali kedua selepas memenanginya pada 2018.
Shahrel Fikri Md Fauzi meraih dua anugerah iaitu penyerang terbaik buat kali kedua selepas 2017 dan anugerah penjaring terbanyak Liga Super kategori pemain tempatan apabila mencatatkan 10 gol bagi musim 2020.
Penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun turut meraih dua anugerah iaitu anugerah Kasut Emas serta anugerah penjaring terbanyak Liga Super menerusi jaringan 12 gol pada musim ini.
Penyerang muda Selangor 2, Ahmad Danial Ahmad Asri menjadi penerima anugerah penjaring terbanyak Liga Premier (pemain tempatan) apabila menjaringkan 7 gol, manakala gelaran penjaring terbanyak Liga Premier menjadi milik penyerang import Pulau Pinang, Casagrande dari Brazil yang menjaringkan 9 gol.
Pemain Paling Bernilai (Most Valuable Player) biasanya diberikan kepada pemain terbaik sepanjang musim namun anugerah itu diberikan kepada peminat tempatan selaku pemain ke-12.
Pemilihan pemenang ABK20 diputuskan menerusi 70 peratus markah daripada juri profesional dan 30 peratus lagi undi daripada penyokong.
Senarai pemenang ABK20:
Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)
Pemain Pertahanan Terbaik: Aidil Zafuan Abdul Radzak (JDT)
Pemain Tengah Terbaik: Muhammad Safawi Rasid (JDT)
Penyerang Terbaik: Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak)
Anugerah Kasut Emas: Ifedayo Olusegun Omosuyi (Selangor) 12 gol
Penjaring Terbanyak Liga Super: Ifedayo Olusegun Omosuyi (Selangor) 12 gol
Penjaring Terbanyak Liga Super (Pemain Tempatan): Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak) 10 gol
Penjaring Terbanyak Liga Premier: Casagrande (Pulau Pinang) sembilan gol
Penjaring Terbanyak Liga Premier (Pemain Tempatan): Ahmad Danial Ahmad Asri (Selangor 2) tujuh gol
Pasukan Terbaik: JDT
Pemain Paling Bernilai (MVP): penyokong bola sepak Liga Malaysia (pemain ke-12)