Datuk K. Rajagobal mengakui sukar untuk melupakan kenangan manis membantu skuad Harimau Malaya meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki yang berlaku pada 29 Disember, 10 tahun lalu.
Ketika itu, Malaysia menewaskan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil sebelum meraih kemenangan agregat 4-2 dalam perlawanan kedua di Gelora Bung Karno.
Malah, jurulatih berusia 64 tahun itu berkata beliau masih tidak dapat menjelaskan detik bersejarah itu dengan kata-kata.
“Perasaan itu susah nak cakap,” katanya kepada Astro Arena.
“Sampai ke hari ini apabila ada orang tanya tentang Piala AFF, saya fikir suasana pada masa itu tidak akan dapat dirasai lagi.
“Keterujaannya merupakan satu keterujaan buat seluruh rakyat, buat semua warganegara Malaysia.
“Ia sentiasa berjalan di minda saya apabila saya tidak lagi dapat melihat suasana seperti itu di mana seluruh rakyat tanpa mengira siapa pun anda bersatu-padu bersama.
“Sewaktu di Bukit Jalil pada ketika itu, saya dapat lihat bendera Malaysia dan ia memberikan pelbagai perasaan seperti emosi dan hendak menangis.”
Namun begitu, Rajagobal enggan sekadar mengenang kembali pencapaian lalu sebaliknya berharap skuad kebangsaan dibawah kendalian Tan Cheng Hoe dapat mencapai kejayaan yang lebih baik di masa akan datang.
“Mungkin Malaysia akan menjadi pasukan pilihan walaupun kita sedar ada tiga pasukan yang sentiasa akan memberikan cabaran, iaitu Indonesia, Vietnam dan Thailand.
“Malaysia sudah menunjukkan bahawa mereka mampu untuk menewaskan tiga pasukan itu sepanjang tahun ini dan saya rasa ia akan memberikan lebih keyakinan dan dengan pemain yang Tan Cheng Hoe ada pada ketika ini, saya berharap mereka akan memperoleh kejayaan.
“Itulah harapan saya kerana dia adalah jurulatih yang baik dan ikhlas.”